SEREMBAN - Setiap belia dan beliawanis dari masyarakat
Orang Asli boleh menjadi individu yang berjaya jika ada usaha untuk mencapai
sesuatu kejayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan
Sukan Negeri Sembilan, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, sesiapa sahaja boleh
mencapai kejayaan tanpa mengira asal usul mereka.
“Asalkan mempunyai iltizam yang kuat dan semangat,
pastinya kita boleh berjaya.
“Seperti dalam kejohanan seperti ini, menjadi medan dan
platform dalam kita diasah supaya kerja lebih kuat dan mengatur strategi untuk
mencapai kejayaan.
“Semangat inginkan kemenangan itulah yang diperlukan oleh
setiap belia dari masyarakat orang asli dan diharapkan ia dapat dibawa dalam
kehidupan supaya mereka mampu menjadi individu yang berjaya satu hari nanti,”
katanya ketika berucap pada Program Transformasi Modal Insan Belia Beliawanis
Orang Asli Negeri Sembilan dan Melaka 2017 (Kejohanan Sepak Takraw dan Bola
Jaring) di Kompleks Belia dan Sukan di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jakoa Negeri Sembilan dan Melaka,
Haslin Abdul Razak dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Azura Sarbin.
Pada masa sama, Zaifulbahri berkata, melalui penglibatan
belia dan beliawanis dalam kejohanan seperti ini, ia dapat menjadi medan
mencungkil bakat sukan yang terpendam dalam kalangan mereka.
“Kelak nanti, pastinya mereka akan menyumbang keringat
mewakili negara,” katanya.
Dalam kejohanan tersebut, dua ketegori sukan
dipertandingkan iaitu sukan Bola Jaring dan Sepak Takraw.
Bagi acara Kejohanan Bola Jaring telah dimenangi pasukan
Jempol A yang membawa pulang pingat dan piala pusingan.
Sementara pingat perak dimenangi pasukan Jempol A dan
gangsa dimenangi Jelebu A.
Acara Kejohanan Sepak Takraw pula dimenangi pasukan
Seremban B yang membawa pulang pingat dan piala pusingan.
Pingat perak dimenangi pasukan dari Alor Gajah dan pingat
gangsa pula disandang pasukan Rembau.
Dalam pada itu, bagi kategori pemain terbaik kejohanan
telah dinobatkan kepada Nor Azreen Tongkee (kategori bola jaring) dan Azmi Kuit
(kategori sepak takraw).

Comments
Post a Comment