Benarkan frontline wanita berhijab

PORT DICKSON - “Fesyen tudung di Malaysia yang maju dan setanding dengan fesyen pakaian wanita bertaraf antarabangsa hari ini perlu dimanfaatkan oleh operator hotel dalam melengkapkan uniform pekerja wanita mereka yang beragama Islam serta bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan atau frontline,” kata Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hasan.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas isu tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian frontline.
Haziz berkata, isu ini sebenarnya sudah lama dibincangkan, kemudian dilupakan dan kini ia menjadi perhatian kembali.
“Saya tidak menafikan memang ada operator hotel yang meletakkan syarat seperti itu, namun jika dilihat 10 tahun lalu dan sekarang, banyak juga hotel yang mengambil langkah setapak ke hadapan membenarkan frontline wanita mereka memakai tudung.
“Fesyen tudung kita di Malaysia sekarang ni boleh dikatakan ikut trend atau terkini, ada macam-macam gaya bertudung yang menarik. Operator hotel boleh ambil manfaat daripadanya.
“Jadikan ia satu keunikan kepada hotel masing-masing yang pekerjanya memakai tudung dengan gaya tersendiri. Itu cadangan saya kepada isu ini,” katanya.
Menurutnya, perubahan dalam budaya operasi hotel di Malaysia sudah banyak berubah dan pihaknya merasakan ini masa yang sesuai untuk melakukan lonjakan perubahan dalam soal pemakaian uniform pekerja wanita.
“Sama seperti penjualan arak satu ketika dahulu, telah menjadi budaya di hotel. Sebut saja hotel, mesti ada jual arak. Kalau tak jual arak hotel tak boleh maju.
“Tapi hari ini banyak hotel yang tidak menjual arak dan tetap boleh maju, malah lebih maju daripada sebelumnya,” katanya.
Haziz memberitahu, begitu juga dengan langkah operator hotel yang menuruti tuntutan restoran atau kafe mereka perlu memiliki sijil halal, terutamanya untuk menyediakan bufet Ramadan.
“Pada peringkat awal perkara ini dilaksanakan, memang agak kurang mendapat sambutan daripada operator hotel. Tapi hari ini boleh dikatakan hampir semua hotel mempunyai sijil halal dan ia memberi manfaat besar kepada hotel itu sendiri,” katanya.
Ujarnya, di Negeri Sembilan hanya ada sejumlah kecil operator hotel yang meletakkan kriteria layak bekerja di frontline, perlu wanita yang tidak memakai tudung.
“Namun memaksa wanita bertudung membuka tudung bagi membolehkan mereka bekerja di frontline tidak menjadi amalan, sebaliknya mereka akan ditugaskan di bahagian lain.
“Untuk bekerja di frontline kriteria kelayakan mereka lebih ketat, seperti perlu fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris atau ada bahasa lain selain Bahasa Melayu.
“Setiap hotel ada SOP (standard operasi) dan grooming polisi masing-masing, namun seperti yang saya katakan tadi, pemakaian tudung juga boleh dijadikan perkara tambah baik dalam grooming polisi,” katanya.
Tambahnya, hampir keseluruhan hotel di Negeri Sembilan terbuka menerima pekerja frontline yang berhijab.
“Majikan atau operator hotel juga tidak boleh terlalu memilih kerana industri ini sentiasa memerlukan sumber manusia.

“Di Kelantan dan Terengganu juga saya difahamkan pekerja wanita mereka dibenarkan memakai tudung termasuk yang bertugas di frontline,” katanya.

Comments