NILAI - Seramai 150 murid Sekolah Kebangsaan Labu Batu 10
di sini, terpaksa belajar di dalam dewan dan makmal komputer apabila bumbung
tambahan sepanjang 40 meter bangunan tingkat satu sekolah berkenaan tercabut
diterbangkan angin kuat awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Luar Sekolah, Abdul Ghani Zainuddin
berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu disedari oleh pengawal
keselamatan sekolah ketika membuat rondaan sebelum memaklumkan kepada Guru
Besar.
"Sebagai langkah keselamatan kami terpaksa menjalankan
pembelajaran murid-murid di dewan dan makmal sementara kerja-kerja pengalihan
dan pembersihan dilakukan.
"Kelas yang terlibat ialah enam kelas murid tahun
dua, tiga dan empat. Sekolah juga telah memasang tali keselamatan sebagai
kawasan larangan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini
berlaku,"katanya.
Menurutnya, pihak sekolah bernasib baik kerana kejadian
itu bukan berlaku pada waktu pembelajaran dan tidak melibatkan kerosakan harta
benda lain. - Sinar Online

Comments
Post a Comment