SEREMBAN - Seorang suri rumah tidak menyangka bengkak
pada perut yang kelihatan seperti wanita hamil sembilan bulan sebenarnya adalah
petanda bahawa dia menghidap kanser ovari tahap tiga, tahun lalu.
Suraida Mohamad, 41, berkata, beliau hanya sedar mengenai
penyakit dihidapinya selepas menjalankan pemeriksaan lanjut di Hospital Tuanku
Ja'afar (HTJ), Seremban tahun lalu.
Beliau berkata, pada mulanya dia pergi ke klinik
kesihatan untuk temu janji berkaitan kencing manis dan darah tinggi tetapi
kemudiannya telah dirujuk oleh doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut di HTJ.
“Keadaan perut yang membesar akibat ketumbuhan ini telah
memaksa saya menjalani pembedahan membuang ovari dan rahim serta apendiks bagi
mengelak situasi lebih serius,” katanya di kediamannya di Ampangan di sini.
Menurutnya, dia kini perlu menjalani rawatan kemoterapi
sebanyak enam kali akibat kan-ser yang dihidapinya dan masih menunggu sama ada
perlu menjalani pemeriksaan lanjut di HTJ atau Hospital Putrajaya.
Tambahnya, beliau masih belum pasti kos kemoterapi yang
perlu ditanggungnya sehingga pemeriksaan lanjut dijalankan ke atasnya bulan
depan.
Ibu kepada tiga anak itu mengakui sekiranya kos rawatan
kemoterapi itu mencecah puluhan ribu, dia sekeluarga tidak mampu untuk
membiayainya memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan
di pusat membeli-belah.
Dia mengharapkan orang ramai dapat membantu dengan
menyalurkan sumbangan bagi membolehkannya menjalani rawatan kemoterapi kelak.
Orang ramai yang prihatin boleh menghulurkan bantuan
menerusi akaun Bank Islam milik Suraida dengan nombor akaun 05012020427711 atau
nombor telefon 012-2890514.

Comments
Post a Comment