JEMPOL - Seorang wanita dan anak lelakinya maut selepas
kereta mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 9, Jalan Bahau-Kemayan
di sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 11.45 pagi itu, wanita
terbabit, Amaisah Muhd. Azid, 50-an, maut di lokasi kejadian manakala anaknya,
Mohammad Alif Azmi, 25, disahkan meninggal dunia semasa diberi rawatan di
Hospital Jempol di sini.
Difahamkan, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari
Bahau menunju rumah mereka di Felda Serting Hilir 5 di sini selepas Amaisah
menjalani rawatan hemodialisis.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin
Hashim berkata, kemalangan berlaku selepas kereta Proton Wira dinaiki dua
beranak itu dari arah Bahau menghala Kemayan terbabas lalu merempuh lori dari
arah bertentangan.
Katanya, perlanggaran itu menyebabkan kereta terbabit
kemudian bergesel dengan sebuah kereta Honda Jazz yang berada di belakangnya.
“Bagaimanapun, pemandu lori dan kereta Honda Jazz yang
masing-masing berumur 29 dan 45 tahun tidak cedera,” katanya dalam satu
kenyataan di sini.
Beliau berkata, kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41
Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment