Skip to main content

Dua maut nahas empat kenderaan

SEREMBAN - Dua maut dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 270.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Seremban di sini petang ini.
Kemalangan itu melibatkan kenderaan Perodua Alza, Proton Preve dan Proton Waja serta sebuah treler tanpa muatan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut di lokasi berkenaan.
"Setakat ini saya mengesahkan dua terkorban. Yang cedera parah telah dibawa ke hospital. Maklumat lengkap berhubung kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian," katanya hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu pada pukul 5 petang.
"Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera untuk membantu mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu.
"Dua mangsa masing-masing seorang lelaki dan perempuan dewasa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat," katanya. - UTUSAN ONLINE



Comments