SEREMBAN –
Limpahan manfaat dan faedah daripada program serta aktiviti yang dilaksanakan
UMNO sebagai parti yang menaungi orang Melayu di negara ini turut dinikmati
oleh orang bukan Melayu.
Antara program itu adalah Jelajah UMNO Bantu Rakyat
anjuran Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) menyaksikan orang bukan Melayu turut
menerima sumbangan yang diberikan sepanjang aktiviti itu dijalankan.
Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata,
itu membuktikan bahawa perjuangan UMNO bukan saja membela kebajikan orang
Melayu yang menjadi teras kepada parti itu, tetapi realiti sebenarnya adalah
lebih meluas.
Beliau berkata, UMNO menganggap perbezaan negara ini
yang mempunyai penduduk berbilang kaum sebagai satu kelebihan dan keistimewaan
yang mengukuhkan keazaman rakyat untuk hidup bersama dalam suasana aman dan
harmoni.
“Agenda perjuangan ini adalah terjemahan kepada perkara
yang sering disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya
UMNO sentiasa menjadi pembela kepada rakyat dan tidak sepatutnya terhad kepada
orang Melayu semata-mata.
“Walaupun program ini dianjurkan oleh UMNO, semua orang
boleh lihat sendiri bahawa orang bukan Melayu juga menerima sumbangan yang
diberikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah UMNO Bantu
Rakyat 2.0 peringkat UMNO Bahagian Tampin, di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tampin,
Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa dan para pemimpin UMNO bahagian berkenaan.
Dalam program itu, seramai 300 pelajar di daerah Tampin
menerima sumbangan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) manakala 1,000
keluarga miskin dan tidak bernasib baik menerima bantuan barangan keperluan
harian.
Para peserta jelajah turut menziarahi keluarga lima
pesakit kronik, manakala 10 buah rumah dibaik pulih sistem pendawaian elektrik
yang dijayakan dengan kerjasama GiatMara.
Klinik motosikal percuma turut dibuka di lokasi perasmian
program juga anjuran GiatMara.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO
berpuas hati dengan maklum balas dan reaksi ditunjukkan orang ramai terhadap
jelajah selama dua hari itu sejak semalam meliputi negeri ini dan Melaka.
“Selain GiatMara, kami turut menerima permintaan daripada
beberapa institusi kerajaan yang mahu turut serta menjayakan program bersama
rakyat,” katanya.

Comments
Post a Comment