PORT DICKSON – Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein menegaskan mustahil orang percaya dengan dakwaan
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa Kerajaan Pusat tidak membantu
mangsa banjir di Pulau Pinang.
Beliau berkata, ini kerana orang ramai dapat menyaksikan
sendiri pelbagai pihak daripada agensi dan jabatan kerajaan termasuk anggota
tentera turun padang membantu mangsa banjir di negeri itu.
“Anggota tentera telah turun membantu mangsa banjir di
sana tanpa menunggu arahan daripada saya. Saya rasa mustahil orang boleh
percaya (dakwaan Guan Eng) sebab saya dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan
Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, sendiri turun membantu mangsa
banjir.
“Kalau Kerajaan Pusat tak bantu, kenapa dia (Lim) telefon
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pukul 3 pagi (minta
bantuan Kerajaan Pusat)?” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis
Sambutan Deepavali Peringkat Tentera Darat di sini, hari ini.
Hishammudin turut memuji anggota tentera yang terlibat
dalam membantu mangsa banjir tanpa mengambil kira perbezaan warna kulit, agama
dan fahaman politik.
“Itu (bantuan tentera dan Kerajaan Pusat kepada mangsa
banjir) tiada siapa di Pulau Pinang boleh nafikan, jadi kalau mereka kata tak
bantu saya rasa tak patutlah,” katanya. – BERNAMA
Comments
Post a Comment