Hospital Jempol bakal miliki pakar mata, tulang

JEMPOL – Penduduk di daerah ini bakal mendapat kemudahan kesihatan lebih baik apabila Hospital Jempol di sini bakal dilengkapi dengan perkhidmatan pakar mata dan tulang tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli berkata, dengan ada­nya perkhidmatan tersebut akan memudahkan penduduk yang sebelum ini terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Am­puan Najihah di Kuala Pilah.
“Hospital Jempol akan mewujudkan pakar mata serta tulang dan ini bermakna peranan hospital itu akan lebih besar dalam memberi rawatan dan manfaat kepada masyarakat,” ujarnya ketika berucap dalam Ekspo Jaga Kesihatan Ketika Sihat peringkat Negeri Sembilan 2017 di sini.
Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali; Pegawai daerah, Zazali Salehuddin dan Pegawai Kesihatan daerah, Dr. Harriza Zainuddin.
Seramai 600 pengunjung memeriahkan ekspo dua hari yang menyediakan pelbagai aktiviti penjagaan kesihatan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Shamshulkahar berkata, program seumpama itu mampu menerapkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pengambilan menu sihat dan senaman.

Katanya, ia juga merupakan usaha yang diadakan bagi memberi kefahaman kepada orang ramai dalam mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit di negara ini.

Comments