Kami panik, air tiba-tiba naik

SEREMBAN – “Saya hanya dapat angkat barang yang ringan sahaja, kerusi, tilam dan katil saya tak larat nak angkat," itu luahan salah seorang penduduk di sini yang terjejas ekoran banjir kilat, kelmarin.

Hujan lebat yang menyebabkan banjir di beberapa kawasan sekitar Seremban itu turut menjejaskan beberapa kawasan perumahan termasuk Taman Galla Mutiara.
Wong Hui Kun, 40, berkata, ini merupakan kali pertama banjir kilat berlaku di kawasan rumahnya dan disifatkan yang terburuk sepanjang tahun ini.
Sebelum ini, jika hujan lebat, taman perumahan ada dinaiki  air namun kali ini ia melimpah masuk ke dalam rumah membuatkan dia panik untuk menyelamatkan barang-barang.
“Semua barang saya habis basah, dan ada juga yang rosak akibat banjir kilat,” katanya.
Tambahnya, dia hanya tidur tiga jam sahaja malam semalam, kerana sibuk mengemas rumah yang berlumpur dan dimasuki banjir kilat petang kelmarin.
Pasukan bomba membantu membersihkan kawasan taman yang berlumpur akibat banjir kiklat semalam
Sementara itu, penduduk di Taman Jasper Jaya, Chu Mohd Kasim, 46, berkata, semasa dia sedang berehat di rumah secara tiba-tiba air masuk ke dalam rumahnya hampir 1 kaki.
Keadaan berlaku pantas sehingga menyebabkan dia kelam kabut  menyelamatkan barangan yang penting.
“Kejadian banjir kilat kali ini adalah yang paling buruk, bayangkan air masuk dalam rumah dengan pantas sampaikan kita tak tahu nak buat apa.
“Kelam kabut saya selamatkan barang yang penting dan bawa ke tempat yang lebih tinggi.
“Walau pun ada banyak barang yang basah dan rosak akibat banjir kilat, tetapi Alhamdulillah semuanya selamat, tiada perkara buruk berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Adun Bukit Kepayang Chaa Kee Chin memberitahu, akibat daripada banjir kilat kelmarin, sebahagian tebing tanah di Taman Jasper di sini runtuh dan dikhuatiri akan memberi kesan lebih buruk kepada penduduk di sini.

Katanya, beliau berharap pihak berkuasa dapat memantau semua keadaan jalan dan tebing yang rosak dengan teliti, khususnya pada musim hujan ini, demi keselamatan penduduk serta penguna jalan.

Comments