NILAI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mengenal pasti tiga daerah di
negeri ini yang berisiko dilanda banjir kilat khususnya ketika musim tengkujuh.
Pengarahnya Norazam Khamis berkata tiga daerah itu ialah
Tampin, Kuala Pilah dan Seremban.
"Berdasarkan trend banjir di negeri ini kita
mendapati banjir kilat sering berlaku ketika hujan tidak berhenti selama satu
hingga dua jam sehingga menenggelamkan beberapa kawasan. Antara kawasan yang
kita kenal pasti ialah seperti Air Kuning, Gemas dan Ampangan, Seremban.
"Jadi saya dah mengarahkan kepada semua pegawai dan
anggota jika berlaku hujan lebat yang berterusan dan kawasan itu telah dikenal
pasti sebagai kawasan banjir kilat, kita tidak perlu tunggu panggilan. Jentera
perlu terus keluar untuk membuat rondaan dan tindakan bersama dengan kenderaan
pengangkutan seperti lori. Itu strategi yang kita lakukan sekarang ini"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
merasmikan majlis tamat latihan Pegawai Bomba Bantuan JBPM Negeri Sembilan siri
2/2017 di Balai Bomba dan Penyelamat
Nilai di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan
Penyelamat negeri Johari Ahmad dan Penolong
Pengarah (Operasi) Bomba negeri Ahmad Mukhlis Mokhtar.
Norazam juga berkata beliau telah memaklumkan kepada
semua ketua balai supaya anggota mereka
merancang cuti tahunan bagi menghadapi bencana banjir
Terdahulu, Norazam memeriksa perbarisan tamat latihan
sejumlah 31 Pegawai Bomba Bantuan yang akan ditempatkan di Balai Bomba dan
Penyelamat Gemencheh, Rembau, Tampin, Bahau, Jelebu dan Port Dickson. - Bernama

Comments
Post a Comment