SEREMBAN – Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Nyatoh,
Rantau dekat sini maut disyaki selepas ditikam beberapa kali oleh adik
kandungnya dalam kejadian di Taman Bunga Sejati di sini hari ini.
![]() |
| Al-Fatihah |
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa,
Norhaidi Mat Yusop, 40, dan adik lelakinya berusia 31 tahun dipercayai
bertengkar di hadapan rumah sebelum dia ditikam oleh suspek menggunakan pisau
di bahagian belakang badan.
Mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran datang ke
rumah itu bagi menghantar anak untuk dijaga ibunya yang menetap di kediaman
berkenaan bersama suspek sejak tiga bulan lalu.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, ketika
kejadian dia terdengar bunyi bising dan ternampak mangsa yang berlumuran darah
berada di luar rumah dan cuba melarikan diri.
Menurutnya, suspek mengekorinya dengan membawa besi
penggali tanah dan sempat memukul bahagian badan dan kepala mangsa beberapa
kali dengan peralatan tersebut.
“Mangsa menjerit meminta tolong sebelum dia terbaring di
atas jalan raya kira-kira 30 meter dari rumahnya. Ibunya yang menyaksikan
kejadian itu tidak dapat berbuat apa-apa.
“Beberapa penduduk berjaya menangkap suspek manakala
mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) menggunakan sebuah
kereta jiran,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan itu di sini hari
ini.
Sementara itu, seorang penduduk yang juga pesara tentera,
Haidzir Kamarudin, 48, berkata, suspek yang juga penganggur seolah-olah hilang
ingatan kerana tergamak memukul abangnya yang sudah tidak bermaya dengan
penggali tanah tersebut.
“Saya dan dua lagi penduduk cuba menangkapnya, namun dia
sempat menghayun besi itu sehingga mencederakan salah seorang penduduk di
bahagian kepala.
“Saya berjaya menjatuhkan suspek sebelum mengikatnya
dengan tali dan menghubungi pihak polis. Saya tidak sangka dia bertindak
agresif kerana sebelum ini dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan
abangnya,” katanya.
Ujarnya, mangsa yang merupakan seorang kontraktor
meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner
Thiew Hock Poh dalam satu kenyataan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia
ketika menerima rawatan di HTJ dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun
Keseksaan.

Comments
Post a Comment