SEREMBAN - Hubungan erat antara pihak berkuasa khususnya
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pengamal media
tempatan mahupun antarabangsa dapat membantu mengekang segala kegiatan jenayah
termasuk keganasan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu
Bakar berkata, menerusi laporan berita yang disiarkan pengamal media ternyata
memberi kesan positif terhadap usaha agensi itu mengekang perlakuan jenayah dan
kecemasan di lautan.
“Saya dan seluruh warga Maritim Malaysia amat mnghargai
sokongan dan kerjasama yang diberikan pihak media selama ini dan berharap akan
terus meningkat pada masa depan.
“Ini diibaratkan bagai aur dengan tebing, tidak dapat
dipisahkan malah terus kekal erat dalam memperjuangkan kedaulatan perairan
negara terus terpelihara,” katanya ketika berucap dalam program Hari Maritim
Malaysia Bersama Media dekat sini hari ini.
Sebanyak kira-kira 100 pengamal media tempatan dan
antarabangsa hadir memeriahkan program sehari yang diadakan di Lapang Sasar
Mantin dekat sini.
Sebanyak enam kategori acara menembak diadakan seperti
precision jemputan, precision media, percision orang kenamaan (VIP), jatuh
piring media, jatuh piring jemputan dan jatuh piring VIP.
Utusan Malaysia muncul juara keseluruhan pertandingan
menembak bersama media Maritim Malaysia serta menjadi pemenang kategori
precision berkumpulan media selepas mengutip mata tertinggi dalam pertandingan
yang diadakan pada sebelah pagi dan petang.
Dalam program itu juga, pengamal media disajikan satu
demonstrasi khas Pasukan Tindakan Khas (PTK) ‘confident shooting’ mempamerkan
kemahiran tinggi yang dimiliki anggota Maritim Malaysia seperti tembakan tepat
tanpa mencederakan musuh.
Yang turut hadir, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan
Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.
Sementara itu, Zulkifli berkata, program tersebut
sebenarnya secara tidak langsung membawa pengamal media menyelami tugas anggota
Maritim Malaysia dalam memastikan kedaulatan negara terjamin.
“Program seumpama ini memberi peluang kepada pengamal
media untuk menambahkan lagi pengetahuan dan pengamalan menulis berita
berkenaan Maritim Malaysia dengan lebih jelas,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment