Lebih enam dekad terpisah

PORT DICKSON - Tangisan kegembiraan mengiringi pertemuan ibu dan anak yang terpisah sejak lebih 60 tahun lalu.

Cutinah, 68, berbangsa Cina dari Kampung Bukit Pelandok pada usia dua hari diserahkan ibu bapanya kepada sebuah keluarga Melayu di Kampung Jawa atas faktor peribadi.
Pada usia 4 tahun, Cutinah yang ketika itu diberi nama Sutinah bersama keluarga angkat ke rumah nenek mereka di Mukim Kuto, Jawa Tengah, Indonesia.
Atas faktor kemiskinan, Cutinah diberikan kepada sebuah keluarga di sana sementara keluarga angkat pertamanya kembali semula ke Malaysia selepas setahun di Indonesia.
Abang angkat Cutinah, Hanapi Bawon, 76, berkata, pertemuan semula dengan Cutinah adalah sesuatu yang tidak disangka, tetapi dinanti-nantikannya dan sangat bermakna.
“Dah hampir 64 tahun kami berpisah, masa kecil kami sangat rapat, memang macam adik beradik betul.
“Tapi atas faktor kemiskinan, terpaksa berpisah. Dulu masa berpisah, memang pak cik tak dapat terima, tapi lama kelamaan dah reda,” katanya.
Hanapi ketika mengimbas kembali detik menerima adik angkat daripada keluarga Cina berkata, peristiwa tersebut berlaku sekitar 68 tahun lalu, dan dia sekeluarga sangat gembira menerima kehadiran bayi itu.
“Dulu arwah ayah hanya bekerja kampung tapi bersetuju untuk menerima anak ini. Pak cik ingat lagi, masa kecil pak cik mendukungnya dan main kejar-kejar bersama.
“Masa usia pak cik lebih kurang 12 tahun, kami sekeluarga ke Jawa Tengah, tapi kerana faktor kemiskinan terpaksa terima tawaran sebuah keluarga tempatan di sana yang mahu mengambil Cutinah sebagai anak angkat mereka.
“Pak cik juga masih ingat Cutinah menangis tak mahu berpisah dengan kami sehinggalah masa kami nak pulang semula ke sini, dia menangis mahu ikut. Tapi tak ada apa yang dapat dilakukan, terpaksa tinggalkannya,” katanya.
Hanapi berkata, sejak itu, hubungan mereka terputus sehinggalah pada 1975, Allahyarham bapanya pulang semula ke Mukim Kuto dan bertemu Cutinah yang ketika itu sudah berkahwin.
“Dan usaha mencari Cutinah dibuat sekali lagi oleh anak pak cik sejak awal tahun ini. Mereka pergi ke Mukim Kuto dan bertemu ketua kampung di sana untuk mencarinya.
“Ketua kampung terus menunjukkan rumah seorang wanita dan ternyata memang betul itulah Cutinah adik angkat pak cik,” katanya.
Hanapi berkata, pada Rabu lalu buat pertama kali Cutinah kembali semula ke kampung halamannya bertemu semula ibu dan adik beradik kandung serta keluarga angkat.
“Kami menangis kegembiraan, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT,” katanya sambil memaklumkan Cutinah akan menetap di sini dalam satu tempoh sebelum kembali semula ke Indonesia.

Dalam pada itu Cutinah berkata, dia gembira dan bersyukur walaupun sudah berpisah lama dan berjauhan, keluarga angkatnya di Malaysia masih mengingatinya malah berusaha mencari serta membawanya pulang ke tanah air tempat kelahirannya.

Comments