Lelaki maut ketika cuba lolos pemeriksaan polis

SEREMBAN - Seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri dari  pemeriksaan polis, maut dalam kemalangan jalan raya di jalan Taman Rantau berdekatan Dewan Orang Ramai Rantau, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 malam itu, motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa berusia 22 tahun itu, telah terbabas di bahu jalan Taman Rantau.


"Berdasarkan siasatan, pada pukul 12.05 malam anggota polis dari Balai Polis Rantau telah menerima maklumat untuk membuat tinjauan dan pemeriksaan terhadap aduan orang ramai berkenaan sekumpulan lelaki yang berkumpul di kawasan Bandar Ekar Rantau.
"Apabila anggota polis tiba, telah nampak sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan dan berkumpulan di atas motosikal masing-masing.
"Apabila menyedari kehadiran anggota Polis kumpulan lelaki tersebut secara tiba-tiba, berpecah dan melarikan diri.
"Kemudian salah seorang anggota polis yang menunggang motosikal bertindak mengejar salah seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hock Poh berkata apabila sampai di Jalan Taman Rantau berdekatan dengan Dewan Orang Ramai Rantau, didapati motosikal yang ditunggang mangsa telah terbabas di sebelah kiri jalan raya.
“Anggota polis yang mengejar mangsa terus berhenti memberi bantuan kepada mangsa dan pemeriksaan mendapati mangsa telah tidak sedarkan diri.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan telah disahkan meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata saksi yang melihat kejadian diminta tampil di mana-mana Balai Polis atau di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk memberi maklumat mengenai kejadian.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Comments