NILAI - Beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir
kilat terutama di daerah Seremban pada Jumaat lepas, berpunca daripada longkang
dan parit yang tersumbat hingga tidak mampu menampung jumlah air hujan yang
banyak.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan
berkata, hujan lebat yang turun selama dua jam menyebabkan banjir kilat di
Seremban kerana longkang dan parit dipenuhi sampah sarap, menyebabkan ia
tersumbat.
"Saya selalu mohon kerjasama masyarakat untuk tidak
membuang sampah hingga menyebabkan longkang tersumbat dan sepatutnya, kita mengambil
inisiatif membersihkannya, bukan membuang segala sampah ke dalam parit atau
longkang begitu sahaja.
"Jika longkang dan parit tidak tersumbat, besar
kemungkinan banjir kilat tidak akan berlaku kerana di bawah stesen kereta api
Seremban, parit dan longkang semua kering cuma tersangkut dekat Jalan Lee Sam
dan terminal bas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera
PRU14 Dun N20, Labu di sini, hari ini.
Mohamad berkata, masyarakat juga tidak boleh mengharapkan
Majlis Perbandaran Seremban semata-mata atau pihak berkuasa tempatan (PBT)
membersihkan longkang atau sungai kerana ia adalah tanggungjawab bersama.
"Saya harap kejadian ini akan diambil berat oleh
semua orang demi kebaikan bersama kerana kerajaan negeri telah berbelanja besar
untuk memperbaiki sistem tebatan banjir dengan membesarkan longkang dan parit.
"Sejak 2012, tidak pernah berlaku banjir di Seremban
namun kebelakangan ini bermula balik,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian banjir kilat itu, Mohamad
berkata apa yang berlaku (banjir kilat) tidaklah teruk seperti yang dilaporkan
terutama yang berlaku di bawah bangunan Umno dan perpustakaan negeri di pusat
bandar Seremban yang dikatakan hingga menyebabkan 10 kereta terkandas dan
rosak.
“Itu semua tidak benar, saya sudah periksa perkara ini,”
katanya.
Jumaat lalu, beberapa kawasan di Seremban terjejas
termasuk tingkat bawah stesen bas dan pusat beli-belah Terminal One, Jalan
Tuanku Munawir, Taman Sri Pulasan, Jalan Labu, Taman Jasper dan Taman Mutiara
Galla 11.- Bernama
Comments
Post a Comment