Masalah bekalan air berakhir

ROMPIN - Masalah bekalan air terawat di tiga kampung masyarakat Orang Asli di Dun Jeram Panjang bakal berakhir tidak lama lagi selepas rumah pam air iaitu sistem rawatan air pelbagai sumber di Kampung Orang Asli Sungai Raya siap.

Adun Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, pada awalnya bekalan air di rumah pam berkenaan digunakan untuk penduduk Kampung Lubuk Temenggalan dan Temerom, namun terpaksa dikongsi juga dengan Kampung Sungai Raya.
“Rumah pam air itu kepunyaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah rosak selain didakwa tidak dibaiki hampir setahun, akibat tidak mampu menampung ataupun mengepam air ke tiga kampung.
“Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) melalui khidmat sosialnya telah membaiki pam tangki air itu pada Februari lalu. Namun beberapa hari lepas ia rosak kembali.
“Masalah itu dikenal pasti akibat bekalan kuasa tidak cukup, berlaku litar pintas dan pam sering rosak,” katanya kepada Sinar Harian selepas Program Jalinan Kasih bersama masyarakat Orang Asli daerah Jempol di Kampung Orang Asli Batu Peti.
Manickam berkata, walau bagaimanapun kini pembinaan sistem rawatan air pelbagai sumber (rumah pam) telah mendapat kelulusan dan ia dalam proses tender sebut harga.
“Perlaksanaan kerja itu akan dilakukan selepas kontraktor yang berjaya dalam sebut harga dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Dengan pembinaan sistem tersebut di Kampung Sungai Raya, rumah pam di Kampung Lubuk Temenggalan hanya beroperasi di kampung itu dan Temerom saja,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Manickam berkata, diharapkan masyarakat Orang Asli mengambil berat soal penjagaan gigi.
“Dalam program jalinan kasih ini, Klinik Pergigian Bahau ada menawarkan perkhidmatan pemeriksaan gigi. Ia selaras usahakan kerajaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menggerakkan jabatan ataupun agensi kerajaan, menawarkan perkhidmatan mereka terus kepada masyarakat melalui kaedah ini.

“Ada segelintirnya (Orang Asli) kurang serius jaga gigi. Jika sukar ia akan dipermudahkan melalui kehadiran klinik gigi bergerak seperti ini,” katanya.

Comments