Maut akibat renjatan elektrik

REMBAU – Seorang tukang pasang kabel elektrik warga Indonesia maut dipercayai terkena renjatan elektrik berhampiran tapak pembinaan Hospital Rembau, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Zainal Arifin berusia lingkungan 20an, dikejarkan ke klinik swasta berhampiran oleh pekerja yang berada di tapak pembinaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, sebaik pemeriksaan dijalankan di klinik swasta berkenaan kira-kira jam 5.30 petang, mangsa telah meninggal dunia.
“Susulan kejadian itu, pasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Rembau telah dikejarkan ke lokasi klinik swasta berkenaan dan mangsa telah disahkan meninggal dunia.
“Berdasarkan siasatan, ketika kejadian mangsa yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial melakukan kerja-kerja penyambungan besi  dengan menggunakan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Ibrahim berkata, tempat kejadian adalah berhampiran dengan pagar tapak pembinaan Hospital Rembau iaitu kira-kira 50 meter dari laluan lori binaan ke tapak pembinaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Tampin bagi bedah siasat hari ini (semalam) dan punca kematian adalah disebabkan renjatan elektrik. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Comments