KUALA PILAH -
Seorang lelaki maut selepas motosikalnya merempuh belakang sebuah kenderaan
jenis Nissan X-Trail di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit
Putus di sini malam tadi.
Kemalangan pukul 10.40 malam itu turut menyebabkan
motosikal Yamaha RD 250 milik mangsa, Mohd. Shairul Shahrom, 31, terbakar.
Ketua Polis daerah, Superintenden Haslah Bachok berkata,
mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di
Hospital Tuanku Ja'afar Seremban manakala pemandu kenderaan berkenaan pula
tidak cedera.
"Kedua-dua kenderaan tersebut datang dari arah
Seremban menuju ke Kuala Pilah. Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Nissan
X-Trail tersebut memperlahankan kenderaan kerana mahu membelok ke kanan.
"Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang mangsa
telah merempuh belakang kenderaan tersebut menyebabkan motosikal itu
terbakar," katanya hari ini.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)
Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment