TAMPIN – Seorang nenek gembira dan terharu apabila
cucunya yang terbabit dalam kemalangan bulan lalu, menerima bantuan kerusi roda
disampaikan oleh myPPP Bahagian Tampin.
T Durga, 54, berkata, cucunya, J Tamilarasi, 12, terbabit
dalam kemalangan di Gemencheh ketika membonceng motosikal dengan saudara
mereka.
Menurutnya, kesan daripada kemalangan itu menyebabkan
cucunya mengalami patah kaki dan kini dia menjaga lima cucunya termasuk
Tamilarasi, yang hanya mampu terbaring sejak kemalangan berkenaan.
“Sejak kemalangan saya bawa cucu tinggal dengan saya
kerana mahu jaganya sendiri.
"Tamilarasi tak boleh bergerak seperti biasa dan
perlu bantuan untuk urus dirinya sendiri.
“Saya perlu minta bantuan seorang kenalan untuk bantu
angkat cucu sekiranya nak bawa dia ke bilik air,” katanya sempena Program
Penyampaian Bantuan Pergerakan Pemuda myPPP Bahagian Tampin dan myPPP Bahagian
Tampin di Taman Woon, di sini, semalam.
Durga berkata, bantuan berkenaan meringankan bebannya
untuk menguruskan cucunya yang kini hanya terlantar sahaja.
Menurutnya, dengan kudrat tuanya, kerusi roda berkenaan dapat
melancarkan lagi urusannya menjaga cucu yang sakit.
Sementara itu, Ketua myPPP Bahagian Tampin, VM Raja
berkata, pihaknya menyampaikan bantuan berupa kerusi roda yang diperoleh
daripada peruntukan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Menurutnya, sememangnya myPPP Bahagian Tampin sentiasa
mengesan mana-mana individu yang memerlukan untuk diketengahkan bantuan
bersesuaian bagi meringankan beban mereka.

Comments
Post a Comment