Skip to main content

NGO digalakkan buka pusat aktiviti warga emas

SEREMBAN - Kerajaan negeri menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuka pusat aktiviti warga emas (PAWE) bagi menempatkan golongan tua secara harian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, terdapat geran bagi membantu pihak yang ingin mengusahakan pusat seumpama itu.
"Kita tidak menggalakkan pembukaan rumah orang tua kerana tidak mahu wujud budaya anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah itu kerana tidak mahu menjaga mereka.
"Sebaliknya kita berharap lebih banyak PAWE dibuka terutama oleh NGO kerana ia berkonsep jagaan harian, hantar ibu bapa waktu pagi dan ambil mereka pada waktu petang.
"Di pusat itu, warga emas boleh berjumpa dengan rakan sebaya mereka, mempelajari ilmu agama dan melakukan aktiviti secara bersama," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia 2017 (BKK1M) di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah dan Pengarah LPPKN negeri, S. Rajen.
Dalam majlis yang sama, Norhayati turut melancarkan kempen 'No Gadget Hour' yang menggalakkan orang ramai supaya tidak mengutamakan gajet seperti telefon pintar semasa bersama keluarga. - UTUSAN ONLINE




Comments