SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan
hari ini mengesahkan kebakaran Pasar Besar Seremban di sini pada September lalu
berpunca daripada perbuatan khianat.
Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, hasil siasatan yang
dijalankan telah mengesan lima sampel mengandungi kesan cecair mudah menyala
jenis petrol di lokasi kejadian.
“Kebakaran bangunan tersebut dipercayai berpunca daripada
api yang dinyalakan menggunakan petrol dan telah dicurahkan di hadapan gril
pintu lipat kedai makan Seng Hing bernombor 758A di tingkat satu.
“Maklumat awal mengenai kes tersebut telah diberikan
kepada pihak polis pada 15 September lalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya
dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.
Pada 9 September lalu, kebakaran besar telah memusnahkan
tingkat atas bangunan Pasar Besar Seremban di Jalan Tun Dr. Ismail.
Bangunan dua tingkat yang berusia 39 tahun itu mempunyai
sebanyak 197 gerai. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment