Pasar tani dalam masjid pertama

KUALA PILAH - Fama akan melebarkan konsep perniagaan pasar tani di pekarangan masjid bagi memberi peluang perniagaan kepada komuniti setempat.

Terbaru, Masjid Saidina Ali adalah masjid pertama dalam Negeri Sembilan yang membuka pasar tani, sekali gus menjadi lokasi ketujuh masjid dalam negara ini menempatkan pasar tani.
Pengerusi Fama Malaysia, Tan Sri Datuk Paduka Badruddin Amiruldin berkata, sebelum dibuka di masjid ini, Fama telah membuka pasar tani di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
“Ini satu perubahan bagi memberi peluang kepada ahli kariah untuk berniaga di pusat-pusat ibadah.
“Sebagai contoh di Makkah dan Madinah, selain jadi tempat beribadah, masjid juga dijadikan pusat untuk menjana pendapatan, sekali gus dapat imarahkan masjid.
“Seharusnya budaya ini diterapkan di Malaysia supaya masjid sentiasa hidup dengan pelbagai aktiviti berfaedah,” katanya pada program taklimat khas Fama bersama belia Parlimen Kuala Pilah di pekarangan Masjid Kariah Saidina Ali, Senaling, petang kelmarin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek; Adun Pilah, Datuk Norhayati Omar dan Pengarah Fama Negeri, Muslim Manja.
Jelas Badruddin, konsep sedemikian mempunyai prospek yang amat baik dalam negara ini.
“Pengenalan konsep pasar tani masjid oleh Fama adalah usaha yang dapat memberi faedah kepada penjual dan pembeli.
“Malah bukan saja boleh membeli-belah, ibadah juga tidak dilupakan kerana lebih mudah untuk peniaga dan pembeli menunaikan solat di sini,” katanya.
Menurutnya, sambutan yang diterima daripada penduduk setempat terhadap pelaksanaan pasar tani masjid tersebut sangat memberangsangkan.
Beliau memberitahu, pengguna di kawasan berkenaan kini tidak lagi menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan basah yang diperlukan, kerana terdapat banyak barangan keperluan dipasarkan di sini.
“Dengan adanya pasar tani masjid ini, pengguna tidak perlu lagi mendapatkan bekalan makanan diperlukan di pasar raya yang harganya sudah tentu lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan ahli kariah masjid yang berminat untuk menyediakan tapak pasar tani boleh pergi ke pejabat Fama berdekatan.
Sementara itu, seramai 45 peserta telah membuka gerai pelbagai produk termasuk lima kenderaan saji dengan jumlah kutipan jualan sebanyak RM13,000.


Comments