SEREMBAN - Chow Jia Yin, calon Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) yang menghidap penyakit rabun
kronik, hari ini menjawab peperiksaan itu menggunakan kertas soalan lebih besar
iaitu bersaiz A3 yang disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Pelajar berusia 18 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan
Taman Bukit Mewah di sini itu merupakan antara 18,145 calon yang menduduki SPM
melibatkan 147 pusat peperiksaan di Negeri Sembilan.
Gurunya, Zalilah Abd Kahar berkata, Jia Yin menjawab
soalan peperiksaan menggunakan kertas bersaiz A3 sejak Peperiksaan Pentaksiran
Tingkatan 3 (PT3), termasuk peperiksaan dalaman yang dijalankan pihak sekolah.
"Sebelum Jia Yin dibenarkan menjawab soalan
peperiksaan menggunakan kertas bersaiz besar ini, pihak Jabatan Pendidikan
Negeri Sembilan telah melakukan beberapa ujian kepada pelajar terbabit bagi
mengesahkan tahap penglihatannya.
"Selepas disahkan, barulah Jia Yin dibenarkan
menjawab peperiksaan menggunakan kertas bersaiz A3 ini," katanya kepada
pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Mewah di sini, hari ini.
Zalilah berkata meskipun menghadapi kesukaran untuk
mengulang kaji pelajaran kerana menggunakan buku bersaiz biasa, Jia Yin dilihat
tetap berusaha membuat persiapan bagi menghadapi SPM.
"Selain itu, Jia Yin turut diberikan perhatian dalam
kalangan kakitangan sekolah dan juga rakan-rakannya khususnya dari segi
pergerakan Jia Yin kerana bimbang dia akan terjatuh disebabkan penglihatan yang
sangat terhad walaupun menggunakan cermin mata," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan
Pkharuddin Ghazali berkata daripada jumlah calon yang mengambil SPM, 15,972
adalah calon Sekolah Kerajaan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan.
"Selebihnya seramai 2,173 calon pula dari Sekolah
Swasta, Maktab Rendah Sains Mara, calon persendirian dan Sekolah Menengah Agama
Negeri," katanya. - Bernama

Comments
Post a Comment