Pelaksaan HIP ternyata berkesan

SEREMBAN - Kementerian Pendidikan menerusi Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) menyasarkan sebanyak 10,000 buah sekolah rendah dan menengah termasuk kolej vokasional di seluruh negara akan melaksanakan Highly Immersive Programme (HIP) tahun depan.

Timbalan Pengarah ELTC, Zainab Yusof berkata, tahun ini, sebanyak 5,500 buah sekolah sudah melaksanakan HIP sejak program berkenaan diwujudkan tahun lalu, di mana semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan.
“Selepas melihat kepada keberkesanan pelaksanaan HIP di semua 1,200 buah sekolah iaitu kumpulan pertama yang melaksanakan HIP ini, warga sekolah terdiri daripada pelajar, guru serta  ibu bapa dan komuniti setempat telah bersama mewujudkan suasana dan persekitaran Bahasa Inggeris di sekolah.
“Berikutan itu, kita mahu lebih banyak lagi sekolah dapat bersama menjayakan HIP ini,” katanya dalam sidang media pada program HIP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang di sini, semalam.
Hadir sama, Pengetua SMK Senawang, Omar Ahmad.
Menurut Zainab, HIP adalah suatu program di bawah dasar MBMMBI atau Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.
“Tujuan ia diwujudkan bagi mendedahkan pelajar kepada penggunaan Bahasa Inggeris dengan lebih meluas, di samping mewujudkan persekitaran HIP di sekolah.

“Persekitaran ini diwujudkan menerusi penglibatan pelajar dalam aktiviti Bahasa Inggeris serta penglibatan menyeluruh ibu bapa dan komuniti dalam pelaksanaan Bahasa Inggeris di sekolah," katanya.

Comments