PORT DICKSON - Polis Daerah Port Dickson sedang mengesan
41 individu dikehendaki termasuk tiga wanita yang terbabit dengan pelbagai kes
jenayah di daerah itu sejak 2009.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Zainudin Ahmad berkata,
individu yang diburu dipercayai terlibat dengan jenayah kekerasan, bunuh
(satu), rogol (dua), samun (dua), pemerasan (satu), ugutan jenayah (dua),
merusuh (dua), mendatangkan cedera (satu).
“Semua individu terbabit adalah warga tempatan berumur 22
hingga 56 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Port Dickson di sini hari ini.
Zainudin berkata ada di antara individu yang dikehendaki
terlibat dengan jenayah harta benda, lain-lain curi (sembilan), curi kenderaan
jentera berat (satu), curi kenderaan motokar (dua), curi motosikal (satu) dan
pecah rumah (sembilan).
“Selain itu ada juga yang terlibat berkaitan jenayah Akta
Senjata Api (tiga), culik dan pengurungan salah (satu) dan kesalahan di bawah
Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT)1953 (empat),”
katanya.
Beliau berkata antara individu paling dikehendaki iaitu
M. Batumali, 47 , beralamat terakhir di Ladang Hopeful Batang Berjuntai, 45600,
Batang Berjuntai, Selangor, yang melibatkan kes bunuh pada tahun 2011.
“Selain itu, dua individu paling dikehendaki melibatkan
kes rogol ialah Ruslan Hasyim, 51, beralamat terakhir di No. 222 Kampung Pasir
Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur dan Mohd Hazroun Ariffin, 34, beralamat
terakhir di K 54 Taman Geliga 2, Jalan Kuala Kemaman, 24000 Kemaman,
Terengganu.
“Suspek lain yang dikehendaki V. Kanesan, 44, beralamat
terakhir di 116A Taman Desa Jaya 2, 08000, Sungai Petani, Kedah kerana terlibat
dengan tiga kes pecah rumah pada tahun 2013,” katanya.
Beliau berkata, semua individu yang terlibat merupakan
orang luar kawasan yang melakukan kegiatan jenayah di daerah ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu
berkenaan boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson di
talian 019-2233449 atau 06-6472222 atau menyampaikan maklumat di mana-mana
balai polis berdekatan. – Bernama
Comments
Post a Comment