SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM6
juta untuk membaik pulih dan menaik taraf tingkat atas Pasar Besar Seremban,
yang terjejas akibat kebakaran pada 9 September lepas.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan
telah melantik sebuah syarikat yang mempunyai prestasi rekod yang baik dalam
senarai Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), untuk
melaksanakan kerja-kerja pembaikan tersebut.
“Kerajaan negeri memutuskan untuk melantik syarikat ini
melalui direct award, kerana jika melantik melalui sistem tender, ia akan
mengambil masa yang lebih lama untuk membaik pulih pasar ini.
“Saya yakin dengan kewibawaan syarikat yang dipilih,
kerja akan dibuat dengan baik dan dijangka siap dalam Jun tahun hadapan,”
katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM1,500 seorang
membabitkan 304 peniaga Pasar Besar Seremban yang terlibat dengan kebakaran, di
sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua MPS Datuk Abd Halim Abd Latif,
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan
Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak
Perladangan, Sumber Manusia dan Kampung Baharu negeri, Datuk L. Manickam, dan
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Lim Chin
Fui.
Mohamad berkata 292 gerai akan dibina di tingkat atas
pasar tersebut, yang sebelum ini menempatkan medan selera, kedai menjual
pakaian dan buah-buahan.
Tingkat bawah bangunan itu yang menjual barangan basah
telah dinaik taraf pada tahun 2009 dengan kos RM7 juta.
“Pasar Besar Seremban merupakan jantung kepada bandar ini
dan apa yang saya perhatikan ia menjadi lokasi pertemuan terutama untuk
orang-orang tua berjumpa dengan rakan mereka.
“Jadi, saya minta MPS untuk mencari peruntukan bagi
menyediakan kemudahan tangga bergerak (eskalator) untuk memudahkan warga tua,
terutamanya, naik ke tingkat atas dan membeli barangan,” katanya. - Bernama

Comments
Post a Comment