Sembilan keluarga terjejas akibat banjir di Jempol

JEMPOL - Sembilan keluarga daripada tiga kampung di Jempol  terjejas apabila kediaman mereka dinaiki air akibat hujan berterusan sejak 5 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jempol dalam  kenyataan di sini, hari ini berkata antara kawasan yang terjejas akibat banjir kilat itu ialah Kampung Lonek, Kampung Gajah Mati dan Kampung Serampang Indah.
“Seramai 26 mangsa dipindahkan sementara ke balai raya berhampiran kampung  masing-masing. Daripada jumlah itu, 18 dewasa manakala baki adalah kanak-kanak,” kata sekretariat itu.
Sementara itu, bercakap kepada Bernama, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Mejar Mohd Rohaidi Halim berkata keadaan ketika ini adalah terkawal.
“Buat masa ini hujan sudah tidak lebat dan air pun sudah mulai surut...ketika banjir  kilat berlaku, kedalaman air dianggarkan mencecah 0.2 hingga 0.5 meter iaitu sekitar dua hingga empat kaki. Paras air sungai dan keadaan air masih kita pantau secara berterusan dan dijangka beransur surut sepenuhnya jika tidak hujan pada lewat petang ini,” katanya.

Beliau berkata seramai 15 anggota APM dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu  mangsa dan operasi memindahkan mangsa banjir turut mendapat bantuan daripada  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri. – Bernama

Comments