SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Negeri Sembilan hari ini memulakan Konvoi Kembara Jelajah Antirasuah 2017
(Kejar 2017) yang berlangsung selama dua hari di negeri ini.
Pengarahnya, Ramli Ismail berkata, konvoi itu disertai kakitangan
SPRM dan ahli Kelab Pemotoran Negeri Sembilan dengan melibatkan 20 buah
motosikal berkuasa tinggi dan enam buah kereta.
Beliau berkata, konvoi akan singgah di destinasi pertama
di pekan Rembau dan mengedarkan risalah serta bahan kempen berkaitan pencegahan
rasuah kepada orang ramai.
“Konvoi kemudian akan ke Pejabat Daerah dan Tanah serta
Majlis Daerah Tampin serta Kuala Pilah dan Pejabat Daerah Port Dickson bagi
mengadakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kakitangan mereka,” katanya dalam Majlis
Pelepasan Konvoi Kejar 17 di Wisma Negeri di sini hari ini.
Pelepasan konvoi disempurnakan Setiausaha Kerajaan
negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan dan turut dihadiri Pegawai Kewangan negeri,
Datuk Johani Hassan.
Ramli berkata, konvoi itu akan berakhir di Dewan Majlis
Perbandaran Seremban di sini dan disusuli dengan majlis IBR yang melibatkan 500
kakitangan dari lapan agensi dan jabatan kerajaan negeri.
Ujarnya, antara yang akan menyertai ikrar itu adalah
kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Lembaga Muzium Negeri Sembilan,
Yayasan Negeri Sembilan, Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan dan Jabatan
Alam Sekitar negeri. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment