Suami isteri maut kemalangan

SEREMBAN - Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 270.2, Lebuh Raya Uta­ra-Selatan arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Seremban, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa yang maut ialah Lau Lian Huat, 62, dan isterinya, Lim Ah Gim, 60, berasal dari Pulau Gadong, Melaka.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler tanpa muatan dari arah selatan hilang kawalan akibat tayar hadapan meletup lalu terbabas memasuki laluan bertentangan serta me­rempuh tiga buah kereta iaitu Perodua Alza, Proton Preve dan Proton Waja.
Kenderaan berat itu kemudian terjunam ke dalam gaung berhampiran. Bagaimanapun, pemandu treler itu menghilangkan diri selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati dua mangsa yang maut di lokasi merupakan pasa­ngan suami isteri yang menaiki Perodua Alza.
“Pemandu dan penumpang Proton Waja serta Proton Preve yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd. Fauzi Shamir berkata, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5 petang.
Kemalangan itu telah menyebabkan kesesakan trafik sesak sehingga 20 kilometer dari arah selatan ekoran lorong tengah dan kanan terhalang.





Comments