Tiga Exco ke Bangladesh

SEREMBAN - Kerajaan Negeri menghantar Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hasim Rusdi ke Bangladesh selama lima hari untuk meraih pengalaman berkaitan teknologi pertanian di sana.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dua lagi ahli Exco Kerajaan Negeri dan empat Adun termasuk daripada pembangkang akan turut berlepas ke negara berkenaan bersama pemimpin terbabit, hari ini.   
“Tujuannya supaya mereka dapat buka mata. Lihat walaupun negara itu berkeadaan sedemikian, mereka tidak pernah import beras malah mampu buat makanan sendiri.
“Tiada langsung tanah kosong dan tanah terbiar di Bangladesh. (Sedangkan) di sini banyak tanah terbiar. Sebab itu kita hantar Exco Pertanian ke sana.
“Pergi tengok macam mana mereka boleh menaikkan satu hektar kawasan padi sampai (memperoleh) 12 tan (hasil), manakala di sini pula tidak sampai empat tan,” katanya.
Menurut beliau, sebarang idea yang bermanfaat dan berdaya inovatif seharusnya dibawa pulang untuk dipraktikkan terhadap sektor pertanian di negeri ini.
“Pada masa sama, boleh lihat betapa susahnya orang di sana. Tapi dalam kesusahan dialami, mereka (masih) boleh hidup.
“Jadi bawa budaya itu ke sini. Jangan kita hendak senang-lenang saja dengan pergi tempat macam Amsterdam (Belanda), Frankfurt (Jerman) atau Zurich (Switzerland).
“Tidak ada makna pun, sebab kita hendak ambil (manfaat) apa dan tengok (pengalaman) apa?” katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan penaiktarafan Surau Taman Senawang Jaya kepada Masjid Taman Senawang Jaya di Senawang, di sini, semalam.
Turut hadir, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad; Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Kamal Amran Kamarudin dan Adun Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahid.
Selain sektor pertanian, Mohamad yang juga Pengerusi Mains berkata, banyak lagi aspek boleh diteroka dan dicontohi oleh delegasi berkenaan sepanjang berada di sana.

“Macam-macam boleh tengok dan boleh juga beri kesedaran. Jadi pergilah ke tempat sebegini dan bukannya bandar raya besar,” katanya.

Comments