Waris buat lagu untuk Jang

SEREMBAN - “Dia sedang buat lagu itu,” ujar Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian bagi mengesahkan perkhabaran bahawa Muzammil Alias atau nama komersialnya, Waris bakal menghasilkan lagu bola untuk Skuad Jang.
“Biarlah dia buat. Tengok dulu macam mana (hasilnya nanti) sebab kita hendak kaji. Kalau elok, (maka) eloklah. Kalau tidak elok, (kita) tidak akan siarkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, penciptaan lagu itu mempunyai pelbagai tujuan tersendiri.
“(Boleh) menaikkan semangat (penyokong) pun ya, untuk menghiburkan (pendengar) pun ya. Senang kata, macam-macam boleh (diperoleh) melalui lagu dan seni.
“(Lagipun) seni merupakan makanan untuk jiwa. Jadi tunggulah. Kalau keluar lagu esok, (maka) keluarlah. Tiada masalah,” katanya.
Untuk rekod, Poe atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Ahmad, 60, yang cukup terkenal dengan karyanya, Alalalala Tok (Jangan Saman) sekitar awal 90an, terlebih dahulu menghasilkan lagu bola untuk Negeri Sembilan.

Bertajuk Hoben Jang Hoben, lagu ciptaan penyanyi dan komposer yang sinonim dengan muzik berentak reggae ini masih terus meniti di bibir penyokong Jang sehingga sekarang.

Comments