11 suspek curi kenderaan ditahan polis


TELOK KEMANG - Polis menumpaskan kegiatan curi kereta dan motosikal apabila menahan 11 lelaki yang dipercayai terlibat dalam 24 kes kehilangan kenderaan di lima buah negeri baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, kesemua suspek yang bergiat aktif mencuri kenderaan di negeri ini, Melaka, Selangor, Perak dan Kedah diberkas dalam Ops Lejang.
Beliau berkata, dalam serbuan di beberapa lokasi di Selangor termasuk di Rawang pada 17 Mac lalu, polis menahan tujuh lelaki dan merampas tiga buah kereta iaitu Proton Wira, Honda Civic dan Honda Ferio.
"Beberapa peralatan curi kenderaan turut dirampas dan pemeriksaan mendapati kesemua suspek merupakan anggota kumpulan 'Along Rawang' serta memiliki rekod jenayah lampau," katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Polis Ke-211 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini hari ini.
Sementara itu, Zainudin berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Air Kuning, Linggi dekat sini pada 20 Mac lalu, pihaknya berjaya menahan empat lelaki dipercayai suspek kes curi motosikal.
Katanya, ketika serbuan suspek sedang meleraikan komponen motosikal di belakang rumah berkenaan dan polis merampas tiga buah motosikal dan beberapa komponennya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE


Comments