609,586 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan


SEREMBAN - Seramai 609,586 pengundi berdaftar direkodkan di Negeri Sembilan sehingga suku keempat tahun tahun lalu.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Afizam Abdullah Sani berkata, ia melibatkan pengundi di lapan kawasan Parlimen iaitu 48,634 orang di Jelebu; Jempol (72,264); Seremban (114,752); Kuala Pilah (49,941) dan Rasah (99,040).
Bagi Parlimen Rembau, katanya, terdapat seramai 88,548 pengundi; Telok Kemang (75,381) dan Tampin (61,026).
"Jumlah pengundi terkini itu bertambah seramai 53,003 orang daripada 556,583 pengundi mengikut daftar pemilih semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya ketika ditemui di pejabat SPR di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) SPR negeri, Mohd. Sharil Bahari Bahari dan Penolong Pengarah, Noor Arnindayanty Noor Adzman.
Menurut Afizam, bagi PRU-14, sebanyak 316 pusat mengundi akan dibuka untuk pengundi awam antaranya di sekolah dan balai raya yang melibatkan 1,124 saluran mengundi di negeri ini.
Ujarnya, terdapat sebanyak 38 pusat mengundi awal untuk anggota polis, tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan 57 saluran mengundi.
Beliau memberitahu, SPR akan menggunakan khidmat seramai 10,000 petugas bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya.
Katanya, SPR dijadual mengadakan taklimat khas PRU-14 kepada petugas media di negeri ini pada 30 Mac. - UTUSAN ONLINE

Comments