BN penuhi keperluan masyarakat di Tampin

TAMPIN - Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan keperluan masyarakat dengan menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas secukupnya di kawasan Tampin, kata Anggota Parlimennya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata keadaan sekarang nyata lebih baik jika dibandingkan 10 tahun lepas di mana masyarakat kawasan itu bergelut dengan isu infrastruktur dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air dan jalan raya.

"Sepuluh tahun lepas ketika di awal saya menjadi Anggota Parlimen, banyak benda yang diminta masyarakat kampung seperti jalan turap (laluan ke) tanah perkuburan dan lampu jalan...kini, semuanya telah dipenuhi (kerajaan BN)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Parlimen Tampin yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Kampung Tengah, Gemencheh di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas Datuk Abd Razak Ab Said dan ADUN Gemencheh Datuk Mohd Isam Mohd Isa.
Shaziman berkata keprihatinan kerajaan BN dalam membantu hal ehwal kebajikan rakyat bukanlah hanya pada masa kini malah sejak dahulu lagi.
"Hari ini, kita boleh lihat dengan jelas kemajuan yang terdapat di Tampin hasil perjuangan kerajaan BN.
"Jadi, tidak ada sebab mengapa pengundi tidak mahu mengundi BN kerana terbukti BN selama ini adalah parti yang sering menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum," katanya. - BERNAMA



Comments