Jentera BN turun padang


KUALA PILAH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah sejak sekian lama dianggap kawasan selamat bagi Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, berlaku kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila kerusi yang dimenangi calon BN, Datuk Norhayati Omar memperoleh majoriti undi yang tipis iaitu 113 undi.
Ini berbeza dengan majoriti 1,285 undi yang diperoleh calon BN, Adnan Abu Hassan lima tahun sebelum itu.
Beberapa faktor dikatakan menjadi punca penurunan undi di kawasan tersebut antaranya undi kaum Cina yang lebih banyak memihak kepada pembangkang selain terdapat isu dalaman BN sendiri di kawasan tersebut ketika itu.
Tidak dapat dinafikan DUN Pilah serta empat lagi DUN di bawah Parlimen Kuala Pilah iaitu Juasseh, Senaling, Johol dan Seri Menanti merupakan kubu kuat dan menyumbang kepada kemenangan BN di Negeri Sembilan.
Kemenangan dengan majoriti tipis di DUN Pilah itu sewajar­nya membuka persoalan tentang apa yang perlu dilakukan untuk memenangi semula hati kebanyakan pengundi di kawasan itu.
Dengan jumlah pengundi terkini seramai 13,431 orang, wujud pelbagai kemungkinan terhadap kecenderungan pengundi yang perlu dilihat dengan teliti oleh BN di kerusi ber­kenaan.
Perkara itu disedari oleh Norhayati sejak hari pertama beliau menang tipis dan ini dimanifestasikan dengan memperkemaskan lagi jentera BN bagi memberi khid­mat terbaik kepada masyarakat di kawasan tersebut.
“Jika melihat kepada keputusan PRU-13 boleh dikatakan kemenangan saya agak kurang selesa kerana kemerosotan sokongan rak­yat setempat.
“Justeru saya mengambil iktibar atas apa yang berlaku kerana saya sedar bahawa kemenangan tipis ini memerlukan saya mengolah sistem gerak kerja menjadi lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara paling asas untuk memikat hati pengundi adalah dengan mendekati mereka dan mewujudkan perasaan bahawa mereka dihargai.
Justeru, Norhayati menggerakkan jentera BN untuk turun menziarahi penduduk setempat menerusi program Ziarah Sayang ke hampir semua lokasi di DUN Pilah.
Ternyata pendekatan Yang Berhormat bertemu rakyat secara kerap ini mendapat maklum balas positif serta menjadi salah satu penanda aras kepada kerja kuat BN di kerusi tersebut.
“Saya laksanakan ziarah rumah ke rumah secara berskala agar lebih fokus dan tersusun melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Aktiviti ini membantu rakyat yang memerlukan dan ia memberi impak yang besar sepanjang bergelar wakil rakyat di sini.
“Dalam masa sama, saya sentiasa melakukan penambah baikan agar ia dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat," katanya.
Kemudahan infastruktur dan keperluan rakyat di kawasan itu juga sentiasa diberi keutamaan supaya orang ramai dapat menikmati hidup dengan lebih sempurna.
Norhayati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, menyifatkan amanah yang dipikul sejak lima tahun lalu telah dilaksanakan sehabis baik demi kepentingan rakyat.
“Oleh yang demikian saya berharap agar semua pemimpin, tidak kira siapa pun, tumpukan kepada matlamat sebenar perjuangan dalam politik iaitu mensejahterakan rakyat agar amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksana dengan sempurna,” katanya.




Comments