Nafi ganggu isteri orang


SEREMBAN - Penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail, 41, atau le­bih dikenali sebagai Syam­sul Debat menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan skandal dan mengganggu isteri orang.

Menjelaskan perkara tersebut, Syamsul berkata, beliau terkejut dengan laporan polis yang dibuat oleh pengadu di Johor mengenai dakwaan itu baru-baru ini.
“Saya tidak tahu mengenai laporan polis itu dan motifnya ke­ra­na saya baru sahaja balik daripada mengerjakan umrah semalam. Saya juga tidak tahu siapa buat laporan, lelaki atau perempuan dan apa tuduhannya serta kenapa saya (dikaitkan).
“Saya tidak syak sesiapa kerana setiap hari saya berinteraksi dengan ramai orang menerusi program cera­mah yang saya sampaikan. Saya tidak mahu tuduh sesiapa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun mengesahkan pihaknya masih menjalankan siasatan awal berhubung dakwaan itu dan akan memanggil pengadu kes yang tinggal di Johor Bahru.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana memikat wanita yang sudah berkahwin dengan niat jenayah.
Syamsul berkata, laporan mengenai kes tersebut telah memalukan dan memberi kesan kepada keluarga terutama ibunya hingga mendorongnya tampil membuat penafian.
Walau bagaimanapun katanya, beliau memaafkan pihak yang membuat tuduhan terhadapnya dan dalam masa sama akan meneruskan aktiviti ceramah seperti biasa walaupun dikaitkan dengan tuduhan itu.
Syamsul memberitahu, setakat ini beliau belum dipanggil polis bagi memberi keterangan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya jika dipanggil untuk siasatan. - Utusan Online




Comments