Penunggang motosikal maut, rakan parah


TELOK KEMANG - Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah van berhampiran Jimah Power Plant, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 8.20 malam itu, mangsa yang merupakan penunggang motosikal, Aimi Ezani, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala Muhammad Yazmir Yusof, 28, cedera retak tengkorak, patah tulang muka serta paha kiri.
Difahamkan, pemandu van terbabit yang belum dikenal pasti menghilangkan diri sebaik berlaku kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, nahas membabitkan sebuah van jenis Ford Econovan dan motosikal Modenas Kriss.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila van dari arah Chuah menghala ke Jimah Power Plant mengelak lubang lalu bertembung dengan motosikal dinaiki dua lelaki dari arah bertentangan," katanya, di sini hari ini.
Susulan itu, Zainudin berkata, pihaknya memohon bantuan unit forensik dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bagi mengenal pasti pemandu van terbabit dengan mengesan cap jari pada kenderaan itu.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat manakala rakannya yang cedera menerima rawatan lanjut di hospital sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE

Comments