Persempadanan semula tidak beri kelebihan kepada kerajaan


SEREMBAN - Persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini tidak dilakukan dengan tujuan memberi kelebihan kepada parti yang memerintah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu hanya bertujuan membetulkan beberapa kelemahan yang timbul akibat daripada persempadanan yang telah dilakukan pada 2004.
Katanya, terdapat dakwaan bahawa wujud gerrymandering (mengubah sempadan pilihan raya untuk memberi kelebihan kepada parti tertentu) dalam persempadanan semula pada tahun berkenaan.
"Pada hemat saya, persempadanan semula ini dilakukan untuk memperbetulkan keadaan. Ia sebenarnya tidak memberi kelebihan kepada kerajaan," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.
Menurutnya, dalam proses melakukan tindakan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima beberapa bantahan daripada kedua-dua pihak sama ada pembangkang atau parti yang memerintah.
Jelasnya, semua bantahan itu telah didengar, diberi perhatian serta pertimbangan oleh suruhanjaya tersebut.
"Saya dapati banyak daripada bantahan itu diterima pakai oleh SPR. Secara umumnya, proses persempadanan semula di negeri ini berlangsung dalam suasana harmoni," ujarnya. - UTUSAN ONLINE


Comments