Polis siasat dakwaan terhadap penceramah popular


SEREMBAN - Polis hari ini mengesahkan telah menerima laporan berhubung seorang penceramah bebas popular dari negeri ini yang didakwa mengganggu isteri orang.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan awal dan akan memanggil pengadu kes tersebut yang berada di Johor Bahru.
"Kita belum sempat mendapatkan keterangan lanjut daripada pengadu tetapi selagi siasatan mendalam mengenainya belum dibuat, kita tidak boleh pastikan sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya. Tunggu sehingga siasatan dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 Kontinjen Negeri Sembilan di Dataran Kawad Sekolah Latihan Polis di sini hari ini.
Kelmarin, satu laporan polis dibuat oleh seorang pengadu yang tinggal di Johor berhubung dakwaan tersebut sebelum kes diserahkan kepada polis negeri ini untuk tindakan susulan. - UTUSAN ONLINE

Comments