DUN Negeri Sembilan bubar 7 April 2018


SEREMBAN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Penggal Ke-13 dibubarkan esok selaras dengan pembubaran Parlimen seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Baginda berkenan tarikh pembubaran DUN Penggal ke-13 Negeri Sembilan berkuat kuasa esok, 7 April.
“Justeru mulai esok, tiada lagi ahli dewan dan kini kita dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, kerajaan sementara yang diketuai beliau tidak akan membuat keputusan penting berkait dasar serta komitmen kewangan dan hanya meneruskan apa yang telah dilaksanakan.
DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi dengan Barisan Nasional memiliki 22 kerusi manakala DAP (11) dan PKR (tiga).
Mohamad dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan sebelum itu menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, di sini kira-kira pukul 4.30 petang untuk memohon perkenan baginda bagi pembubaran DUN Negeri Sembilan. - UTUSAN ONLINE

Comments