Jangan politikkan isu kekurangan pelajar di UiTM Kuala Pilah


REMBAU - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini meminta masalah kekurangan jumlah pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah tidak dijadikan sebagai isu politik.

Katanya, terdapat dakwaan beliau sengaja mengurangkan pelajar di kampus tersebut sedangkan masalah itu timbul ekoran kekurangan pelajar mengambil bidang sains tulen yang ditawarkan di kampus berkenan.
“Ada dakwaan negatif mengatakan saya sabotaj Kuala Pilah, ini tidak betul. Saya minta mereka jangan politikkan isu itu untuk kepentingan peribadi.
“Banyak tempat kosong yang tidak dapat diisi di UiTM Kuala Pilah kerana tidak ramai pelajar Melayu ambil sains tulen,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 di UiTM Kampus Rembau di sini hari ini
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sebelum ini pelajar dalam bidang sains sosial turut ditempatkan di UiTM Kuala Pilah buat sementara waktu, namun dipindahkan ke UiTM Rembau apabila kampus itu siap.
Jelasnya, ini menyebabkan jumlah pelajar di kampus berkenaan semakin berkurangan sehingga timbul tuduhan sedemikian.
Dalam pada itu beliau berkata, selain di Rembau dan Kuala Pilah, terdapat sebuah lagi kampus UiTM di Seremban dan ia sudah memadai untuk menampung keperluan pendidikan di negeri ini. - UTUSAN ONLINE

Comments