Kastam rampas dadah bernilai RM2.3 juta


SEREMBAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila merampas dadah jenis methampetamine seberat 40 kilogram (kg) bernilai RM2.3 juta di sebuah premis di Subang Jaya, Selangor, Isnin lalu.
ZULKIFLI YAHYA (tengah) dan beberapa pegawai menunjukkan sebahagian dadah bernilai nilai RM2.3 juta yang dirampas dalam sidang akhbar di Seremban hari ini. - UTUSAN ONLINE/ABD. RAZAK AID
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, dalam serbuan pada pukul 8 malam itu, seramai lapan lelaki berusia 28 hingga 40 tahun terdiri daripada tujuh warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan ditahan di lokasi itu.
Menurut beliau, pemeriksaan menemukan serbuk putih disyaki methampetamine di dalam 20 daripada 400 bungkusan guni yang diikrarkan sebagai garam dan dihantar dari Chennai, India melalui kargo laut di Pelabuhan Klang, Selangor.
“Semasa serbuan oleh sepasukan anggota Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, terdapat tujuh lelaki warga asing sedang memunggah guni-guni putih dari sebuah kontena ke dalam premis, manakala seorang lelaki tempatan dipercayai memantau aktiviti itu.
“Hasil pemeriksaan ke atas semua guni seberat 50 kg itu menemukan 20 bekas plastik lutsinar yang mengandungi serbuk putih disyaki methampetamine dengan berat masing-masing 2 kg disorokkan dalam guni tersebut” katanya dalam sidang akhbar di JKDM Cawangan Narkotik, Kampung Jijan di sini hari ini.
Zulkifli berkata, kesemua suspek direman tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan sehingga 15 sebatan jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE

Comments