Mujur sempat ke hospital


JEMPOL - Siapa sangka pengalaman bersalin anak kali ini meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh seorang anak peneroka Felda Palong 3 di sini.

Roslina Janian, 38 yang juga merupakan Pengurus Hal Ehwal Korporat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin-Jelai di sini, hampir melahirkan anak ketika bertugas di sebuah program dekat Seremban, pagi kelmarin.
Walau bagaimanapun, dia sempat dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban dan selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.36kg secara normal pada 11.59 pagi.
Menurut Roslina, dia bersyukur ketika kejadian suaminya ada bersamanya menguruskan peserta program terlibat selain adanya perkhidmatan ambulan di situ.
“Sebelum itu, saya sempat juga bergambar dengan Tok Mat (Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan) sebelum beliau merasmikan program.
“Kemudian saya selesaikan kupon makan peserta dan duduk sekejap menghilangkan penat. Tiba-tiba rasa air ketuban pecah kira kira jam 11.00 pagi, suami segera maklumkan kepada petugas ambulans.
“Tiba di hospital anggaran jam 11.35 pagi dan selamat melahirkan anak ke empat saya, bayi perempuan kira kira jam 11.59 pagi kelmarin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mengikut rekod, dia dijangka bersalin pada 8 April ini, namun kelahiran bayinya awal selain mengakui kelahiran kali ini sangat mudah.
“Syukur ALLAH mudahkan urusan saya bersalin. Saya tidak rasa sakit hendak bersalin langsung susulan sibuk menguruskan peserta program.
“Beberapa hari sebelum itu, saya ditahan di wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah berikutan rasa seperti nak bersalin, tetapi saya dibenarkan pulang kerana tiada tanda tanda bersalin,” katanya.
Roslina berkata, dia tidak akan melupakan kenangan indah itu, selain sebelum ini hanya membaca berita seumpama ini di dada akhbar, laman sosial ataupun televisyen.
“Syukur sempat ke Hospital, jika tidak mungkin dalam sejarah saya bersalin di lokasi bertugas,” katanya berseloroh.
Roslina bagaimana pun ketika ini masih berada di wad HTJ , Seremban selain dijangka pulang ke rumah dalam masa terdekat ini. – Sinar Online


Comments