SEREMBAN - Pasar Besar Seremban yang musnah akibat
kebakaran pada September tahun lalu, dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata,
kerja-kerja pembaikan kini berada di tahap yang memuaskan dan dijangka akan
siap sepenuhnya pada bulan Oktober ini.
Beliau yang juga merupakan calon Parlimen Seremban
memberitahu, sebanyak 300 unit gerai akan disediakan dengan merangkumi tiga
bahagian berbeza.
“Sebanyak 300 unit gerai baru akan dibina semula
merangkumi tiga segmen antaranya
bahagian kedai makanan dan pakaian, jualan basah serta jualan bahan kering
seperti bawang, telur dan alat permainan.
“Kesemua itu akan dibangunkan semula bagi membolehkan
peniaga berniaga dengan lebih selesa dan terurus berbanding sebelum ini,
kesemua peniaga itu akan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Seremban.
“Kini kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan
kita jangka pada awal bulan Oktober, semuanya sudah siap sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau kerja-kerja
pembaikan Pasar Besar Seremban di sini, semalam.
Ujarnya, dua unit lif turut dibina di pintu utama yang
berkapasiti lima belas orang dewasa, bagi memudahkan warga emas untuk ke
tingkat atas.
Beliau berharap agar kerja-kerja pembinaan semula ini
berjalan dengan lancar supaya pasar besar ini kembali beroperasi semula seperti
biasa.
Pada 9 September tahun lalu, Pasar Besar Seremban
terbakar menyebabkan keseluruhan tingkat satu musnah dengan melibatkan sebanyak
197 gerai.
Berikutan itu, kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta
bagi projek menaik taraf bahagian yang musnah tersebut.
Buat masa ini, kesemua peniaga yang terlibat berniaga di
perkarangan parkir Pasar Besar Seremban itu, sementara menunggu kerja-kerja
pembaikan siap sepenuhnya. – Sinar Online

Comments
Post a Comment