Pasar Waghih Kito akan diperluas ke seluruh Negeri Sembilan


SEREMBAN - Kerajaan negeri merancang menganjurkan Pasar Waghih Kito yang menawarkan barangan keperluan pada harga rendah ke seluruh negeri ini bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu membolehkan orang ramai membeli barangan pada harga antara 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.
Katanya, buat permulaan pasar itu dianjurkan di Pusat Komuniti dan Karavan (Pakar) di Paroi di sini sebanyak dua kali sebulan bagi melihat sambutan daripada masyarakat. 

“Kita mengadakan pusat jualan ini untuk penternak, petani dan pengeluar bahan makanan menjual sendiri barangan. Dengan cara ini tiada pengambilan untung yang banyak oleh rantaian orang tengah. Sebab itu harga barang dijual di pasar ini di luar jangkaan. 

“Sebagai contoh, cili merah dijual RM5 lebih murah daripada di pasaran, begitu juga ikan sungai begitu murah. Selain itu, ayam dijual di luar lebih RM9 sekilogram tetapi di sini RM5.60 sekilogram. Ayam pencen RM6 seekor, kalau di pasaran RM8.

“Ini adalah peringkat percubaan dan kalau berjaya kita akan adakan di semua daerah kerana di daerah juga banyak petani, pengeluar dan peladang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pasar Waghih Kito di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, orang ramai yang ditemuinya semasa melawat pasar tersebut memberi maklum balas positif dan gembira dengan konsep penganjuran pasar itu. - UTUSAN ONLINE

Comments