PENUNDAAN tarikh kesemua perlawanan Liga Super yang
sepatutnya berlangsung pada 30 dan 31 Mac serta 3 dan 4 April ini, bagaikan
memberi rahmat terhadap skuad Jang.
Berdasarkan jadual asal, Negeri Sembilan bakal melayan
kunjungan Perak di laman sendiri malam semalam dan disusuli dengan PKNS FC
kira-kira empat hari kemudian di tempat lawan.
Berdasarkan makluman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang
dahulunya dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia
(FMLLP), tarikh baru ditetapkan pada 5 dan 6 Jun serta 10 dan 11 Julai depan.
Justeru, perlawanan paling hampir buat masa ini,
dijadualkan pada 14 April, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban atau
lebih dikenali dalam kalangan peminat dengan jolokan Star of Paroi, untuk
bertemu Kelantan.
Sehubungan itu, pemain skuad Hoben Jang Hoben dikatakan
mempunyai lebih masa untuk berehat dan membuat persediaan bagi memantapkan lagi
mutu permainan sebelum menghadapi saingan seterusnya.
Ruang perbaiki keadaan
Bagi Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri
Sembilan (n9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun, penundaan itu sememangnya
diperlukan Mohd Azraai Khor Abdullah untuk memperbaiki keadaan pasukannya.
“Banyak perkara perlu diberi perhatian. Baik dari segi
susunan pemain, taktikal dan senarai kecederaan. Perlu kenal pasti segala
kelemahan yang ada, sementara masih ada masa.
“Manfaatkan juga waktu ini untuk cuba pelbagaikan lagi
posisi beberapa pemain. Selain itu, dia boleh uji kemampuan pemain skuad Piala
Presiden dalam perlawanan persahabatan.
“Tujuannya untuk perbanyakan lagi pilihan jika perlu.
Kalau ada ramai yang berpotensi, maka lebih mudah untuk merencanakan sebarang
strategi,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tempoh rehat yang terlalu panjang
dikhuatiri memberi kesan kurang elok terhadap liga itu sendiri, di mana auranya
mungkin akan berkurangan.
“Cuma, kita tak boleh nak beri tekanan sangat pada Mohd
Azraai memandangkan itu saja set pemain yang dia ada.
“Rasanya bukan mudah untuk dia buat lebih daripada yang
kita harapkan. Tapi walau apa pun, mudah-mudahan akan ada keputusan positif
nanti,” katanya.
Peluang pemain
Sementara itu, Editor Majalah UltraJang, Nasron Mohd
Yasin pula melihat penangguhan perlawanan itu mengganggu momentum pasukan dan
pemain, kecuali Skuad Rusa.
“Pasukan lain mungkin terganggu, tapi sebaliknya bagi
Negeri Sembilan. Rehat panjang beri peluang pada beberapa pemain utama yang
cedera untuk pulih.
“(Nicolas) Velez, (Renars) Rode, Khairul Anwar
(Shahrudin) dan (R) Aroon Kumar ada masa untuk kembali cergas.
Secara ringkasnya, kata Nasron, ini satu peluang terbaik
untuk Skuad Hoben Jang Hoben mengubah nasib memandangkan momentum kurang baik
dalam lima perlawanan terdahulu.
“Perlu diingat, Mohd Azraai masih belum dapat latih
keseluruhan pemain sejak ambil alih pasukan pada Mac lalu.
“Jadi, dia tak dapat nak cuba lagi kombinasi pemain yang
betul-betul sesuai,” katanya.
Comments
Post a Comment