Sikamat di belakang arus pembangunan


SEREMBAN - Sikamat adalah mukim yang terletak berhampiran bandar Seremban.
Namun, melangkah masuk ke Sikamat, kita akan dapati ia tidak menggambarkan statusnya sebagai kawasan yang terletak berhampiran bandar.

Tiada pembangunan ketara berlaku dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat yang padat dengan penduduk.
Beberapa institusi penting terletak di situ antaranya, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Sekolah Sains Perempuan Seremban dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd. Said.
Sejak dipimpin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Aminuddin Harun mulai Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013, kawasan DUN ber­kenaan mengalami kelesuan dan seolah-olah tertinggal daripada arus pembangunan negeri yang pesat.
Entah di mana silapnya, PKR dan Aminuddin jarang memberi perhatian serius untuk membawa pembangunan yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat dalam kawasan DUN tersebut.
Beliau hanya dilihat hanya mampu menziarahi penduduk yang sakit, kurang bernasib baik atau meninggal dunia, mengunjungi surau dan masjid serta menghadiri kenduri.
Bukan menjadi rahsia, hujah Aminuddin dalam Persidangan DUN sering dipatahkan oleh kerajaan negeri.
Berikutan itu, Barisan Nasional (BN) telah melantik ADUN Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza sebagai ADUN angkat bagi DUN Sikamat.
Sejak itu, baru rakyat dapat pembelaan yang lebih baik melalui peranan dimainkan oleh Abu Ubaidah. Setiap kali berlaku bencana seperti ribut yang menyebabkan kerosakan rumah, ADUN Ampangan itu tampil menghulurkan bantuan.
Selain itu, institusi seperti sekolah, surau, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sikamat dapat menikmati sumbangan yang dipohon melalui pejabat DUN Ampangan.

Beberapa infrastruktur baharu turut dinikmati oleh rakyat di DUN berkenaan melalui usaha oleh BN seperti klinik kesihatan dan dua buah dewan orang ramai yang mampu memuatkan sehingga 500 orang.
Seperti yang selalu disebut oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa rakyat di DUN Sikamat bakal menikmati lebih banyak kemajuan dan pembangunan sekiranya mengembalikan kerusi DUN itu kepada BN seperti yang dilakukan selama ini.
Kerajaan BN berdiri teguh dengan komitmen untuk ‘memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat’ melalui pelbagai dasar dan projek yang kesemuanya bertujuan supaya rakyat sebenarnya yang mendapat nikmat.
Dalam PRU kali ini, para pengundi sekali lagi disaran supaya membuat pilihan yang bijak supaya mereka terus menikmati kemajuan dan pembangunan yang dirancang kerajaan negeri. - Utusan Online



Comments