SEREMBAN - Lebih 50 pengamal media di Negeri Sembilan
menghadiri taklimat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) di sini hari ini.
Sesi taklimat bermula dari pukul 9 pagi hingga 12.30
tengah hari itu disampaikan Penolong Pengarah Pendidikan Pengundi Akademi
Pilihan Raya SPR, Abdul Fatah Mohd. Pilus serta Pendaftar akademi tersebut, Nik
Aminudin Nik Shahar Shah.
Pada sesi berkenaan, pihak media diberi penerangan
berhubung perjalanan sistem pilihan raya di samping prosedur permohonan pas
media serta tatacara membuat liputan sepanjang PRU-14.
Akademi Pilihan Raya SPR turut melakukan simulasi senario
proses pengundian dan pengiraan undi yang dilakukan sepenuhnya di pusat
mengundi di seluruh negara pada hari pengundian.
Taklimat turut menyentuh isu-isu berbangkit setiap kali
pilihan raya bagi memperbetulkan persepsi negatif ter-hadap ketelusan SPR
seperti dakwaan pengundi hantu, manipulasi daftar pemilih, peti undi dan dakwat
pilihan raya serta kebocoran maklumat calon dipilih pengundi pada kertas undi.
Siri jelajah taklimat PRU-14 kepada pengamal media
selepas ini akan diadakan di Perak dan Sabah sebelum berakhir di Sarawak. -
UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment