Usim berminat kolaborasi bersama Karangkraf


NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) berminat untuk berkolaborasi dengan Kumpulan Media Karangkraf bagi menghasilkan al-Quran khas universiti itu pada masa akan datang.

Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, beliau tertarik dengan ciri-ciri al-Quran keluaran Karya Bestari terbitan Karangkraf yang bukan sahaja mudah dibaca, tetapi praktikal.
“Karangkraf sememangnya rakan strategik Usim dan kalau boleh akan datang kita berkolaborasi hasilkan al-Quran lebih spesifik untuk Usim yang sesuai dijadikan cenderahati kepada pelawat.
“Lagipun kalau boleh, kita nak sediakan al-Quran yang seragam di Kompleks Islam Tuanku Muhriz Usim,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Tabung Infaq Ihya Ramadan 2018 dan Penyerahan al-Quran Projek Wakaf Tunai oleh Karangkraf di Kompleks Islam Tuanku Muhriz Usim, semalam.
Malah beliau berpendapat, amat baik jika program Wakaf al-Quran Karangkraf diperluaskan sehingga ke luar negara sekali gus membolehkan negara ini menjadi sebahagian peneraju keluaran al-Quran.
Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Agama dan Penerbitan al-Quran Karangkraf, Ahmad Yani Abd Manaf menyambut baik hasrat Usim.
Beliau berkata, kelainan al-Quran dihasilkan dengan beberapa inovasi menjadikannya pilihan masyarakat Islam.
“Kami selama ini memang rapat dan memanfaatkan keilmuwan pensyarah Usim dalam memberikan idea dan membuat semakan al-Quran terbitan kami.
"Terima kasih kepada Usim kerana memilih Karangkraf,” katanya.

Comments